PENYUSUAN EKSKLUSIF BAYI ANDA


Assalamualaikum..

Anak kecil saya sudah berusia 2 tahun setengah. Begitu cepat masa berlalu. Rasanya seperti saya baru sahaja melahirkannya tapi dia sudah pandai bercakap. Petah berkata-kata. Selama tempoh itu juga saya menyusukan Eman walaupun kini sudah dicampur dengan susu formula sekali sekala. Dia pun sudah besar dan macam-macam yang dimakannya. Namun saya bersyukur dan berbangga sekali kerana berjaya menyusukannya tanpa dicampur susu formula selama setahun 7 bulan. Saya sendiri tak sangka berupaya dan sehingga kini masih mempunyai susu badan.. Alhamdulillah..



Di sini ingin saya kongsikan sedikit info tentang penyusuan susu ibu khususnya mengenai penyusuan secara eksklusif kepada bayi (di bawah 6 bulan).

Pengalaman dengan anak pertama, saya sendiri kurang jelas tentang maksud sebenar 'exclusive breastfeeding' pada waktu itu. Saya tak tahu pun baby bawah 6 bulan tak perlu diberikan air masak. Saya sangkakan asalkan tak diberi susu formula, dikira sebagai 'eksklusif'. Sangkaan saya meleset sama sekali. 

Berdasarkan polisi penyusuan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan takrifan yang diberikan oleh WHO, dapat disimpulkan bahawa
penyusuan ibu secara eksklusif itu adalah bayi diberi SUSU IBU SAHAJA
  • tanpa  minuman/makanan lain (air masak, susu formula, jus, teh, kopi dll)
  • Berapa lamakah penyusuan eksklusif diperlukan?
  • selama 6 bulan
  • Sekiranya bayi diberi minuman lain (air masak/ jus) di samping susu ibu dalam tempoh 6 bulan itu, maka ia dikatakan “Penyusuan Sepenuhnya” (fully breastfeeding) dan bukannya “Penyusuan Eksklusif”.
    Di Malaysia dikatakan terdapat peningkatan dalam penyusuan susu ibu namun penyusuan eksklusif masih kurang (walaupun tiada statistik rasmi dikeluarkan).
    Senarionya ramai ibu-ibu masih kurang yakin untuk memberi susu ibu SAHAJA kepada bayi selama 6 bulan tersebut. Tambahan kepada air masak dan sekali sekala susu formula kelihatannya sukar dielakkan.



    Sebenar-benarnya, pemberian air masak (atau air tambahan lain termasuk glukosa, jus, air teh, kopi, erk..) boleh memberi mudarat kepada bayi! Ini kerana...

    1. Pemberian air masak (atau air-air lain) meningkatkan risiko jangkitan penyakit kerana air akan bertindak menghakis salutan bahan pelindung penyakit (immunoglobulin A, IgA) yang diperolehi daripada susu ibu yang menyaluti saluran pencernaan bayi.
    2. Pemberian air lain akan meningkatkan kebarangkalian kegagalan penyusuan ibu secara eksklusif kerana apabila bayi telah kenyang dengan minuman lain, bayi akan kurang menyusu daripada ibu dan mengurangkan rangsangan dan seteruskan mengurangkan penghasilan dan pengeluaran susu ibu.
    3. Pemberian air lain juga boleh meningkatkan risiko kekurangan zat makanan kepada bayi kerana bayi akan kurang minum susu ibu, oleh itu bayi akan kurang mendapat nutrien daripada susu ibu.
    4. Pemberian air kosong akan meningkatkan risiko “keracunan air”  atau water intoxication terutama kepada bayi yang berumur kurang daripada 5 minggu kerana air yang terlalu banyak akan mencairkan kandungan garam di dalam darah yang mengakibatkan suhu badan menjadi rendah, bayi mengalami kembung perut dan juga boleh mengakibatkan sawan tarik.

    Kandungan air di dalam susu ibu adalah sekitar 80-90% sudah mencukupi untuk bayi, sesuai dengan usianya. Jadi bayi yang menyusu secara eksklusif selama 6 bulan tidak memerlukan air tambahan kerana susu ibu sudah memenuhi semua keperluannya untuk air, zat makanan, dan kasih sayang.

    Sumber: ibu hebatkan 

    Info tentang penyusuan kini berada di hujung jari kita sahaja. Pastikan ibu-ibu penuhkan ilmu di dada supaya kita lebih bersedia apabila tiba waktunya nanti. InsyaAllah, dengan ilmu, kita lebih yakin menghadapi segala cabaran dan dugaan yang bukan sedikit dalam menjayakan penyusuan susu ibu.

    Apapun yang anda lakukan terhadap anak anda, lakukanlah yang terbaik. Kerana ia sangat memberi kesan khususnya kepada perkembangan fizikal dan emosi mereka. Semoga entry ini memberi manfaat kepada anda semua.. 

    Salam sayang.. Mama Liza
    0164219053

    Comments

    Popular posts from this blog

    HOMESTAY BEST DI BENTA / KUALA LIPIS

    JADUAL PENGAMBILAN VITAMIN

    OHH!! TULANG DAH RAPUH?